Monday, August 13, 2018

HUKUM MEMETIK BUAH DI TEPI JALAN UNTUK DIMAKAN


Semasa menyampaikan kuliah hadis minggu lepas, saya ditanya tentang hukum memetik buah-buahan yang ditanam di tepi-tepi jalan atau di taman-taman awam. Ia bukan milik perseorangan. Sebaliknya milik kerajaan atau majlis perbandaran. Adakah halal atau haram? Kalau perlu meminta izin, kepada siapa harus diminta izin?

Saya menangguhkan jawapan sehingga saya menemui dalil sahih yang boleh dijadikan sandaran.

Berikut adalah jawapannya, in syaa Allah.

i.               Mengambil buah-buahan dari taman milik persendirian

Ulamak berbeza pendapat dari segi hukumnya; sebahagian mereka berkata harus dan sebahagian lain, iaitu jumhur berkata tidak harus bagi mereka yang tidak memerlukan. Adapun mereka yang memerlukan seperti dalam kelaparan, maka harus mengambilnya untuk dimakan sahaja.
Dalilnya adalah Rasulullah s.a.w. telah ditanya tentang mengambil buah-buahan yang tergantung dipokoknya. Baginda s.a.w. menjawab (maksudnya): “Sesiapa yang ditimpa keperluan (kelaparan), dia mengambilnya bukan untuk dibawa pulang tidak ada dosa ke atasnya. Sesiapa yang membawa keluar sesuatu daripadanya, maka dia hendaklah membayar dua kali gandanya  dan dikenakan hukuman. Dan sesiapa yang mencuri sesuatu daripadanya selepas ia dipetik dan diletakkan di tempat simpanannya, sekiranya nilai yang dicuri mencukupi kadarnya maka dipotong tangannya.” Riwayat Abu Daud dan dikategorikan sebagai hasan oleh al-Albani.

Dalil yang menunjukkan harus makan buah-buahan di kebun orang lain ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seseorang kamu datang ke sebuah kebun, dan hendak makan (apa yang ada di dalam kebun itu), hendaklah dia memanggil pemilik kebun itu sebanyak tiga kali. Jika dia menjawab, (mintalah izin). Jika tidak, hendaklah dia makan. Dan apabila seseorang kamu bertemu dengan seekor unta dan dia hendak minum daripada susunya, maka hendaklah dia menyeru: wahai tuan unta, atau wahai pengembala unta. Jika dia menjawab (mintalah izin), jika tidak, hendaklah dia meminumnya.”

Kesimpulannya harus bagi mereka yang memerlukan mengambil buah-buahan dari kebun seseorang dengan beberapa syarat:
Pertama – tuan kebun tidak ada dan telah dipanggil untuk meminta izin sebanyak tiga kali tetapi tiada jawapan.
Kedua – ambil untuk makan sahaja. Tidak harus diambil untuk disimpan atau dibawa pulang.
Ada yang menambah syarat ketiga, iaitu kebun itu tidak berpagar. Jika berpagar tidak harus diambil kerana ia boleh disamakan ia diletakkan di tempat simpanannya.

ii.              Mengambil buah-buahan dari taman awam

Hukum mengambil buah-buahan, bunga-bunga atau apa saja hasil tanaman di tepi  jalan atau di tanah milik kerajaan adalah harus kerana ia milik semua orang. Tambahan pula ia ditanam dan dibiarkan tanpa pengawal, tanpa dipagar memberi maksud keizinan untuk semua.
Selain itu, terdapat hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w. membenarkan kita mengambil untuk makan buah dari kebun milik perseorangan, maka mengambil daripada kebun awam lebih harus lagi. At-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn Umar r.anhuma, Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sesiapa yang memasuki satu kebun, makanlah daripadanya dan jangan ambil untuk dibawa pulang.”
Ibn Majah meriwayatkan dengan lafaz: “Sesiapa yang lalu di sebuah kebun, maka makanlah daripadanya dan jangan diambil untuk dibawa pulang.”

Allahu A’lam.

http://fatwa.islamweb.net

https://islamqa.info/ar

2 comments:

Iskandar said...

Saya ada kemusykilan disini, apakah hukum memetik/mengerat sedikit ranting, atau mengambil anak dari pokok-pokok bunga yang banyak yang hidup di tepi jalan raya/ di taman rekriasi untuk di tanam di rumah sendiri. Adapun tujuan memetik sedikit ranting untuk mendapat benih/baka bagi tumbuhan tersebut. Dan sesetengah tumbuhan agak mahal untuk dibeli di kedai landskap.Dan cara memetik atau mengambil anak pohon tersebut adalah x merosakkan tumbuhan tersebut.

Diharap pihak tuan sudi memberi sedikit ilmu dan penjelasan tentang perkara ini.

Alam Mistik said...

Tuan blog ni tak aktif dah ke...kesian yg bertanya