Semasa menyampaikan kuliah hadis minggu lepas, saya ditanya
tentang hukum memetik buah-buahan yang ditanam di tepi-tepi jalan atau di
taman-taman awam. Ia bukan milik perseorangan. Sebaliknya milik kerajaan atau
majlis perbandaran. Adakah halal atau haram? Kalau perlu meminta izin, kepada
siapa harus diminta izin?
Saya menangguhkan jawapan sehingga saya menemui dalil sahih
yang boleh dijadikan sandaran.
Berikut adalah jawapannya, in syaa Allah.
i.
Mengambil buah-buahan dari
taman milik persendirian
Ulamak berbeza pendapat dari segi hukumnya; sebahagian
mereka berkata harus dan sebahagian lain, iaitu jumhur berkata tidak harus bagi
mereka yang tidak memerlukan. Adapun mereka yang memerlukan seperti dalam
kelaparan, maka harus mengambilnya untuk dimakan sahaja.
Dalilnya adalah Rasulullah s.a.w. telah ditanya tentang mengambil
buah-buahan yang tergantung dipokoknya. Baginda s.a.w. menjawab (maksudnya): “Sesiapa yang ditimpa keperluan
(kelaparan), dia mengambilnya bukan untuk dibawa pulang tidak ada dosa ke
atasnya. Sesiapa yang membawa keluar sesuatu daripadanya, maka dia hendaklah membayar
dua kali gandanya dan dikenakan hukuman.
Dan sesiapa yang mencuri sesuatu daripadanya selepas ia dipetik dan diletakkan
di tempat simpanannya, sekiranya nilai yang dicuri mencukupi kadarnya maka dipotong
tangannya.” Riwayat Abu Daud dan dikategorikan sebagai hasan oleh al-Albani.
Dalil yang
menunjukkan harus makan buah-buahan di kebun orang lain ialah hadis yang
diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Apabila seseorang kamu datang ke sebuah kebun, dan hendak makan (apa yang ada
di dalam kebun itu), hendaklah dia memanggil pemilik kebun itu sebanyak tiga
kali. Jika dia menjawab, (mintalah izin). Jika tidak, hendaklah dia makan. Dan apabila
seseorang kamu bertemu dengan seekor unta dan dia hendak minum daripada
susunya, maka hendaklah dia menyeru: wahai tuan unta, atau wahai pengembala
unta. Jika dia menjawab (mintalah izin), jika tidak, hendaklah dia meminumnya.”
Kesimpulannya
harus bagi mereka yang memerlukan mengambil buah-buahan dari kebun seseorang
dengan beberapa syarat:
Pertama –
tuan kebun tidak ada dan telah dipanggil untuk meminta izin sebanyak tiga kali tetapi
tiada jawapan.
Kedua –
ambil untuk makan sahaja. Tidak harus diambil untuk disimpan atau dibawa pulang.
Ada yang
menambah syarat ketiga, iaitu kebun itu tidak berpagar. Jika berpagar tidak
harus diambil kerana ia boleh disamakan ia diletakkan di tempat simpanannya.
ii.
Mengambil buah-buahan dari
taman awam
Hukum mengambil buah-buahan, bunga-bunga atau apa saja hasil
tanaman di tepi jalan atau di tanah
milik kerajaan adalah harus kerana ia milik semua orang. Tambahan pula ia
ditanam dan dibiarkan tanpa pengawal, tanpa dipagar memberi maksud keizinan
untuk semua.
Selain itu, terdapat hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w.
membenarkan kita mengambil untuk makan buah dari kebun milik perseorangan, maka
mengambil daripada kebun awam lebih harus lagi. At-Tirmizi meriwayatkan
daripada Ibn Umar r.anhuma, Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sesiapa yang
memasuki satu kebun, makanlah daripadanya dan jangan ambil untuk dibawa pulang.”
Ibn Majah meriwayatkan dengan lafaz: “Sesiapa yang lalu di
sebuah kebun, maka makanlah daripadanya dan jangan diambil untuk dibawa pulang.”
Allahu A’lam.
http://fatwa.islamweb.net
https://islamqa.info/ar
2 comments:
Saya ada kemusykilan disini, apakah hukum memetik/mengerat sedikit ranting, atau mengambil anak dari pokok-pokok bunga yang banyak yang hidup di tepi jalan raya/ di taman rekriasi untuk di tanam di rumah sendiri. Adapun tujuan memetik sedikit ranting untuk mendapat benih/baka bagi tumbuhan tersebut. Dan sesetengah tumbuhan agak mahal untuk dibeli di kedai landskap.Dan cara memetik atau mengambil anak pohon tersebut adalah x merosakkan tumbuhan tersebut.
Diharap pihak tuan sudi memberi sedikit ilmu dan penjelasan tentang perkara ini.
Tuan blog ni tak aktif dah ke...kesian yg bertanya
Post a Comment