Friday, October 19, 2018

QURANAL FAJRI

SOALAN:

Ustazah, saya ingin bertanya tentang maksud ayat 78 surah al-Israa’. Apa maksud “Quranalfajri” dalam ayat itu? Saya ada terdengar seorang penceramah mengatakan maksudnya adalah baca Quran sebelum Subuh. Betul ke? Cuma inginkan kepastian.

JAWAPAN:

Surah al-Israa’ ayat 78 terjemahan adalah seperti berikut:
Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

Menurut beberapa kitab tafsir yang sempat saya baca, maksud “Quranalfajri” dalam ayat itu ialah solat subuh.

Antaranya Tafsir al-Kabir, Ar-Razi (wafat 606H).
Beliau menulis: Mereka telah ijmak bahawa maksudnya adalah solat subuh. Nun (quarana) berbaris di atas adalah mengikut baris solata (aqimissolata). Maka maksudnya adalah: dirikanlah solat dan dirikanlah quranalfajr.

Kita dapati ar-Razi dengan jelas menyebut “mereka (ulamak) telah ijmak”, iaitu sepakat mengatakan maksudnya adalah solat subuh. Ini bermakna tidak ada pendapat selain daripada itu.

Begitu juga dengan Al-Qurtubi (wafat 671).
Beliau berkata: Dinasabkan (dibaris atas) qurana boleh difahmai dari dua sudut. Pertama, mengikut baris solata (aqimissolata) yang maksudnya dirikanlah quranalfaj, iaitu solat subuh. Ini pendapat al-Farraa’. Kata ahli Basrah, dibaris atas sebagai tarikan dan galakan. Maksudnya hendaklah kamu melakukan quranalfajr. Ini adalah pendapat az-Zujaj.
Beliau (al-Qurtubi) menyambung, dinamakan solat subuh sahaja dengan quran tetapi solat lain tidak kerana quran pada solat subuh merupakan sebahagian besar daripadanya. Ini kerana bacaan quran pada solat subuh panjang dan nyaring seperti yang masyhur dan tercatat dengan jelas.

Demikian juga Imam Muhalli dan Sayuti dalam Tafssir al-Jalalain, mentafsirkan quranalfajr sebagai solat subuh.


Jadi, kalau ada tafsiran lain sebagaimana yang ditanyakan Allahu A’lam. Mungkin penceramah itu ada rujukan lain.

No comments: