Soalan
salam ustazah....
saya ingin berkongsi sedikit masalah yang saya hadapi dengan ustazah....
sebenarnya saya ingin berubah menjadi lebih baik dari sekarang...apa yang saya hadapi ialah saya apabila melihat orang berbuat baik dan dipertontonkan dikhalayak orang, saya rasa mereka seperti menunjuk-nunjuk kebaikan yang dibuat walhal keikhlasan mereka bukan saya dapat menilai melainkan hanya ALLAH sahaja yang dapat menilainya... jadi kadang2 saya tak berani tengok kisah2 yang menunjukkan kebaikan orang lain sebab saya tidak mahu berburuk sangka dengan orang lain.. jadi bagaimana nak mengubah persepsi ini?
apabila saya berbuat kebaikan saya rasa seperti saya orang yang apabila di depan orang, saya nak tunjuk kata baik tapi sebenarnya ketika saya mahu berbuat benda baik tersebut saya dah niatkan untuk buat kerana nak capai redha ALLAH tapi ketika sedang buat seperti hati saya kata saya sedang buat kerana naktunjuk baik..macam mana nak buang perasaan yang sebegini?
bagaimana nak buang sikap sombong sekiranya saya rasa ada rasa kesombongan dalam diri saya ini??
Jawapan
Assalamu'alaikum.
Mohon maaf kerana agak lambat membalas email anda.
Lintasan hati tidak semua berada di bawah kawalan kita. Para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum pernah mendatangi Rasulullah SAW meluahkan kegusaran mereka apabila Allah menurunkan sepotong ayat di dalam surah al-Baqarah yang menyebut Dia akan menghisab semua yang terlintas di hati sama ada kita nyatakan atau sembunyikan. Ayat tersebut bermaksud:
"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (al-Baqarah:284)
Maka Rasulullah SAW mengajar mereka agar sentiasa berdoa dan memohon ampun sehingga turun ayat berikutnya selari dengan doa yang selalu mereka ungkapkan: " Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (al-Baqarah:286)
Yang penting saudara harus rasa syukur kerana diberi petunjuk mengetahui mana lintasan yang betul dan mana yang salah. Jika kita sedari lintasan itu tidak betul, segera tangkis dan beristighfar. Antara sifat orang bertaqwa ialah apabila mereka melakukan kesilapan mereka segera ingat Allah dan memohon ampun. Firman Allah bermaksud:
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." (Aali 'Imran:135)
Teruskan usaha anda mendaki tangga kebaikan menuju kejayaan dan keredhaan Allah 'Azza wa Jalla, sesungguhnya Dia sentiasa merahmati dan memberi hidayah kepada hambaNya yang berusaha ke arah kebaikan. Firman Allah bermaksud: "Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (al-'Ankabut:69)
No comments:
Post a Comment