Saturday, June 28, 2008

Solat Istikharah

Soalan

salam ustazah.
saya ingin kepastian dari ustazah dalam mengerjakan solat istikharah kerana saya berasa ragu-ragu dengan apa yang saya tahu tentang mengerjakan solat istikharah.saya ada beberapa soalan mengenai solat istikharah.solat istikharah di tunai sebanyak 2 rakaat:-

1) apakah surah yang di baca untuk rakaat pertama dan kedua?
2) ada tak bacaan selain daripada bacaan solat biasa seperti ketika sujud
akhir?
3) apakah doa yang di baca selepas solat istikharah?
4) selepas habis solat istikharah, apa yang patut dilakukan?
5) pukul berapakah 2/3 malam?

sekian, wassalam.

Jawapan

Salam,

1. Rakaat pertama, selepas al-Fatihah baca surah al-Kafirun dan rakaat ke 2 surah al-Ikhlas. Walaubagaimanapun kedua surah tersebut tidak wajib, boleh baca surah-surah lain kalau mahu, atau baca al-Fatihah sajapun solat sudah sah.
2. Ketika sujud disunatkan banyak berdoa kerana ketika itulah kita dikatakan paling hampir dengan Allah. Panjatkan permohonan kita kepadaNya waktu kita sujud tidak kira sujud awal atau sujud akhir. Kalau tidak tahu bahasa arab, sekadar bermunajat dalam hati dengan bahasa kita (Melayu). Bacaan khusus tidak ada.
3. Istikharah bermakna kita mohon Allah tetapkan hati di atas sesuatu pilihan yang kita buat, atau beri petunjuk atau bimbingan kepada kita untuk membuat sesuatu keputusan. Ada doa yang diajar oleh Rasulullah SAW yang terdapat di dalam buku-buku doa. Namun kalau tak jumpa buku doa tu berdoa saja dalam bahasa kita, curahkan kepada Allah apa yang kita hajatkan secara tulus, ikhlas, menghina diri dan mengharap dengan sepenuh hati. Sebaik-baik doa ialah yang lahir dari hati sanubari kita sendiri.
4. Selepas solat dan berdoa, elok berbincang dan bermusyawarah dengan orang yang boleh dipercayai. Nabi bersabda maksudnya: "Tidak menyesal orang yang beristikharah dan tidak rugi orang yang bermusyawarah/mesyuarat". Kalau belum tetap hati dengan sesuatu keputusan teruskanlah istikharah walau seberapa banyak. Adab kita dengan Allah, tidak boleh gesa, supaya setiap doa segera terqabul.
5. Tidak boleh dipastikan dengan tepat pukul berapa. Pada anggapan saya selepas pukul 2. Tapi waktu bukan satu syarat, ertinya saudari boleh lakukan bila-bila masa asalkan bukan pada waktu haram.

Allahu A'lam.

No comments: