Soalan:
Salam Ustazah,
Anak saudara saya
bertanya kenapa hanya Nabi Muhamad disebut sebagai Rasulullah s.a.w tetapi nabi
lain hanya a.s.
Diharap ustazah dapat
memberi penjelasan dan jika ada beserta ayat-ayat Al-Quran.
Sekian, terimakasih.
Jawapan:
Wassalam.
Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya
berselawat kepada Nabi (Muhammad s.a.w);
wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah
salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al-Ahzab:56)
Menurut al-Qurtubi, Allah
berselawat ke atas Nabi bermaksud Allah melimpahkan rahmat dan keredhaanNya ke
atas baginda.
Malaikat berselawat bermaksud
berdoa dan memohon keampunan untuk baginda.
Umat berselawat maksudnya berdoa,
memuliakan dan membesarkannya.
Dan firmanNya “wahai orang-orang
yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera
dengan penghormatan yang sepenuhnya” membawa maksud Allah perintahkan
hamba-hambaNya agar berselawat ke atas NabiNya, Muhammad s.a.w., tidak kepada
para nabi yang lain sebagai satu penghormatan kepada baginda dan tanda
kemuliaannya.
Justeru, tidak ada khilaf di
kalangan ulamak bahawa selawat ke atas Nabi Muhammad adalah fardhu sekurang-kurangnya sekali
seumur hidup.
Az-Zamakhsyari ditanya, selawat
ke atas Nabi wajib atau sunat? Beliau menjawab: “Bukan sunat. Bahkan wajib!”
Namun ulamak berbeza pendapat
tentang keadaan dan waktu bilakah selawat itu wajib.
Pertama – ada yang berpendapat wajib
setiap kali nama baginda disebut. Ini berdasarkan Hadis “Sesiapa yang namaku
disebut di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atasku dia masuk neraka lalu
Allah menjauhkannya.” Dan diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang
ayat ini (al-Ahzab:56). Maka baginda menjawab: “Ini daripada ilmu Allah yang tersimpan.
Kalaulah kamu tidak bertanya, aku tidak akan memberitahunya. Sesungguhnya Allah
Ta’ala mewakilkan untukku dua malaikat. Apabila aku disebut di sisi seseorang
muslim dan diapun berselawat ke atasku, dua malaikat itu terus berkata: “Allah mengampunimu”.
Lantas Allah Ta’ala serta para malaikatnya berkata sebagai menyahut doa dua
malaikat itu: “Aamiin”. Dan jika aku disebut di sisi seseorang muslim tetapi
dia tidak berselawat ke atasku, dua malaikat itu terus berkata: “Allah tidak
akan mengampunimu!”. Lantas Allah Ta’ala dan para malaikatNya berkata sebagai
menyahut doa dua malaikat itu: “Aamiin”.
Kedua – ada yang berpendapat
wajib satu kali sahaja dalam satu majlis walaupun nama baginda disebut
berulangkali.
Kesimpulannya, Allah perintahkan
berselawat kepada Nabi s.a.w. secara khusus. Jadi hukumnya wajib.
Di samping itu terdapat
hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan berselawat ke atas nabi s.a.w. Antaranya
baginda bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berselawat ke atasku satu selawat,
Allah selawat ke atasnya dengan satu selawat itu sepuluh kali.”
Sahl bin Abdullah berkata: “Selawat
ke atas nabi Muhammad s.a.w. merupakan ibadah yang paling afdhal kerana Allah
sendiri berselawat ke atasnya serta para malaikatNya, kemudian Dia perintahkan
orang-orang beriman supaya berselawat. Padahal ibadah-lain tidak begitu.”
(Jawapan berdasarkan al-Jami’
li-Ahkam al-Quran oleh al-Qurtubi rahimahullah. Wafat 671 hijriah)
No comments:
Post a Comment