Soalan:
Ustazah, macaman nak tahu istikharah kita
berjawab? Syukran ya Ustazah kerana sudi jawab soalan saya.
Jawapan:
Istikharah merupakan satu sunnah yang
diajar oleh Nabi kita s.a.w.
Jabir r.a. berkata: "Adalah Rasulullah
s.a.w. mengajar kami istikharah dalam semua perkara sebagaimana baginda
mengajar kami surah daripada
al-Quran." Hadis Riwayat al-Bukhari.
Istikharah bermaksud memohon kebaikan.
Melakukan solat istikharah bermakna kita memohon kepada Allah supaya memilih
yang baik untuk kita dan menyerahkan urusan kita kepada ilmuNya serta
kebijaksanaanNya sepenuhnya.
Terdapat beberapa tanda yang nyata dan
tidak nyata tentang natijah istikharah atau jawapan selepas istikharah.
Antara alamat yang nyata ialah perasaan
lapang dada pada kebaikan. Maksud lapang dada di sini ialah kita rasa cenderung
kepada sesuatu tanpa didorong oleh kepentingan diri atau hawa nafsu dan berasa
tenang dengannya. Sebab itu ulamak berkata, sebelum menunaikan solat istikharah
kita mesti kosongkan hati, serah kepada Allah semata-mata dan berniat untuk
melakukan apa yang ditunjukkan sama ada perasaan lapang atau sebaliknya. Inilah
tanda nyata yang disepakati oleh jumhur ulamak.
Lawan kepada lapang dada ialah perasaan
sempit dan menolak jika perkara itu tidak baik untuk kita. Datangnya perasaan
sempit dada dan ingin menolak selepas solat istikharah merupakan satu jawapan,
lebih-lebih lagi sekiranya sebelum istikharah kita rasa cenderung kepada
perkara itu. Ini bersesuaian dengan doa yang kita baca, antara lainnya kita
sebut: "elakkannya daripadaku dan elakkan aku daripadanya. Dan
taqdirkanlah kebaikan kepadaku di mana jua dan jadikanlah aku redha
dengannya". Jadi bila kita rasa tidak mahu, itu bermakna Allah hendak
mengelakkannya daripada kita.
Ada juga yang berpendapat bahawa tidak syarat
lahirnya perasaan lapang dada. Malah, selepas istikharah boleh laksanakan apa
yang kita rasa baik tanpa menunggu perasaan lapang dada atau sebaliknya.
Dengan itu, jawapan istikharah tidak
semestinya datang berupa mimpi. Mungkin kadang-kadang berlaku mimpi. Untuk mentakbir
mimpi perlu kepada orang yang mempunyai kebolehan. Ia membantu dalam memberikan
jawapan yang betul. Sesungguhnya mimpi yang baik itu dari Allah sebagaimana
dinyatakan di dalam sepotong Hadis bermaksud: "Tidak tinggal lagi daripada
kenabian kecuali mubasysyirat", mereka bertanya: "apakah mubasysyirat
itu?" Baginda menjawab: "mimpi yang baik." Riwayat al-Bukhari. Namun
begitu, seperti yang dinyatakan tidak semestinya semua jawapan melalui mimpi.
Maka dapat disimpulkan, selepas istikharah
berlaku salah satu daripada tiga keadaan:
Pertama – mengalami perasaan lapang dada
dan tenang atau sebaliknya.
Kedua – tidak ada ketentuan dan tidak
mengetahui sama ada rasa lapang atau sebaliknya. Keadaan seperti ini, elok
diulang istikharah sehingga jelas perasaannya.
Ketiga – masih tiada kepastian, tidak
mengetahui baik atau tidak. Ketika itu, dia boleh pilih salah satu daripada dua
perkara: teruskan atau tidak teruskan. Seeloknya sebelum membuat keputusan sama
ada hendak teruskan atau tidak, berbincang dan minta pandangan orang yang
berilmu dan berpengalaman. Apa yang penting, jaga niat. Seboleh-bolehnya
kosongkan hati dari sebarang perasaan sebelum istikharah dan serahkan
bulat-bulat kepada Allah.
1 comment:
Post a Comment