Sunday, April 27, 2008

Sentuh Mushaf

Soalan

Assalamualaikum Ustazah,
Saya dari Melaka. Mohon ustazah dapat memberikan penjelasan tentang 2 persoalan yang menjadi kekeliruan bagi saya berkaitan menyentuh mushaf al-quran. seperti di bawah:
Persoalan 1 : Setahu saya bagi setiap muslim yang nak memegang al-quran, mestilah berwudu' dahulu. Tetapi sekiranya tidak berwuduk, bolehkah kita memegang al-quran itu dengan cara memegang kulit mushaf (sekiranya jenis kulit al-quran yang berzip) atau dengan mengalaskan dengan kain atau plastik untuk memegang al-quran itu dengan tujuan untuk mengalihkannya dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Persoalan 2 : Sekiranya kita ingin membeli mushaf al-quran dari kedai yang jauh dari rumah, dan biasanya kita tidak dalam keadaan berwuduk ketika itu. Bolehkah kita menyentuh mushaf tersebut? Adakah itu dikatakan dalam keadaan darurat.
Persoalan 3 : Saya pernah belajar berkaitan larangan wanita yang berhaid. Dalam rancangan pagi tadi, ustazah telah menyenaraikan sebanyak 9 larangan wanita berhaid. Tetapi tak termasuk apa yang saya pernah belajar dulu, iaitu TIDAK BOLEH MENANGGUNG AL-QURAN. Maksud menanggung menurut pengetahuan saya ialah walaupun al-quran itu berada di dalam laci contohnya, wanita berhaid tidak boleh menyentuh atau membuka laci tersebut. Kes lain, tidak boleh membawa al-quran walaupun mushaf tersebut berada dalam beg. Minta penjelasan ustazah.
Sekian, terima kasih.

Jawapan

Assalamualaikum wr.wb.

Terima kasih atas soalan yang begitu teliti.
Persoalan 1 : Menurut al-Syarbiniy di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, menyentuh kulit yang bersambung dengannya adalah haram kerana ia sebahagian daripadanya. Difahami dari kata-katanya itu, kiranya pembalut yang tidak bersambung dan tidak dijadikan pada asalnya untuk dijadikan kulit mushaf, maka tidak haram menyentuhnya. Oleh itu mengalas dengan kain atau sebagainya untuk mengalihkannya adalah harus.

Persoalan 2 : Di dalam mesyuarat ahli jawatankusa ibadah haji TH/JAKIM ada membincangkan isu jemaah yang pulang selepas menunaikan haji, biasanya di lapangan terbang Jedah, pihak berkuasa Aras Saudi menghadiahkan/menghulurkan senaskhah al-Quran kepada setiap orang. Pada ketika itu, tidak semua jemaah berada dalam keadaaan suci daripada hadas. Mereka memutuskan harus bagi jemaah memegangnya kerana sukar untuk menjaga diri supaya tidak berhadas. Namun untuk langkah berjaga-jaga, dinasihatkan jemaah menyediakan beg yang telah sedia terbuka. Jika mereka hulur al-Quran, tadahkan saja beg itu. Dengan itu jemaah terselamat daripada menyentuhnya. Jadi kes ini mungkin boleh dijadikan rujukan untuk saudara membeli al-Quran. Keluarlah dengan berwudhu', tapi kalau terbatal, boleh lah meminta penjual memasukkannya terus di dalam beg.

Persoalan 3 : Betul ada hukum tidak boleh menanggung atau membawa al-Quran. Saya tak sentuh pagi itu sebab ia termasuk dalam bab sentuh al-Quran dan yang bersambung dengannya. Mungkin yang saudara sebut laci itu ialah apa yang disebut di dalam kitab fiqh sunduq atau peti, yang tidak boleh disentuh ialah peti yang memang dibuat khusus untuk letak al-Quran. Tapi kalau laci meja, yang biasanya dibuat untuk letak macam-macam, termasuk al-Quran pun ada dalam tu, tidak haram menyentuhnya. Begitu juga harus membawa beg yang di dalamnya ada al-Quran bersama buku-buku atau barang-barang lain.

Allahu A'lam.

No comments: