Sunday, May 25, 2008

Maksud ILAH

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Ustazah,
Saya dari Melaka. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ustazah kerana sudi memberikan penerangan tentang isu menyentuh al-Quran yang telah saya ajukan tempoh hari. Panduan itu sangat bermanfaat untuk saya seisi keluarga.
Kali ini,ingin saya minta pandangan daripada Ustazah serta hujah yang jelas tentang isu ketauhidan yang saya forwardkan ini. Kami perlukan rujukan dan sumber yang jelas untuk dihujahkan kerana ia berkisar persoalan pokok kepada aqidah diri dan umat Islam. Harap ustazah dapat mengikuti perbincangan di bawah.
Assalammu'alaikum waramatuhllahi wabarakahtuh. ..
Worth reading.....
Hidup di kalangan masyarakat majmuk kebanyakan kita akan berjiran dengan Keluarga yang bukan Islam.
Bagi kaum Tionghua dan Hindu mereka selalu mempunyai tempat penyembahan masing-masing, kaum Cina mungkin di luar rumah manakala Hindu di dalam rumah.
Bila kaum Cina yang beragama Taoisme atau Buddha sering melakukan upacara penyembahan mereka di luar, anak-anak kita yang masih kecil akan lihat, dan mungkin pernah bertanya kepada kita....
"Uncle sebelah buat apa tu Abah?"
Dan secara amnya, kita akan menjawab..... "dia org tgh sembahyang atau tengah sembah tuhan dia"
jawaban itu tuan-tuan, nauzubillah sebenarnya syirik....
Kerana ia bercanggah dengan prinsip dua kalimah syahadah kita.. "tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH" tetapi apabila kita memberikan jawaban ... "dia tengah sembah tuhan dia"
kita menggambarkan pada anak kitra bahawa ada tuhan yang lain dari ALLAH, kita memberi gambaran pada anak kita, bahawa, kaum Cina punya satu tuhan,
India s! atu tuhan, Kristian satu tuhan...dan cara mereka menyembah tuhan mereka lain dr kita.
Sedangkan kita mengucap kalimah kita "tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH"
Jadi mana datangnya konsep atau pengertian " dia sedang sembah tuhan dia"
Sekiranya jawaban ini diteruskan.. ...maka anak kita akan terus keliru dengan konsep dan prinsip syahadah kita " tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH"
Jawaban yang sebenarnya, " Anak, pertamanya perlu faham, tuhan kita dengan tuhan uncle sebelah sama, kerana ada hanya satu tuhan sahaja iaitu ALLAH, tapi cara dia menyembah tuhan itu salah"
Jangan ambil mudah jawaban yang diberikan kepada anak, kerana jawaban yang salah akan hanya merosakkan atau setidak-tidaknya akan kelirukan mereka.
Sekadar mengamalkan "sampai dan menyampaikan" . Sekiranya apa yang disampaikan di sini atas kelemahan diri sendiri dan yang baik datang dari ALLAH.
Apa yang disampaikan di sini ialah pemahaman sendiri ,sekiranya ada pihak yang mempunyai idea dan jawapan yang lebih baik.....
Jika sekiranya ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW
"Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat"Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
1) Sedekah amal jariahnya
2) Doa anak-anaknya yang soleh
3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain
Sekian, terima kasih.

Jawapan

Assalamualaikum wr.wb.

Pertama,
Saya cuba terangkan makna ILAH yang terkandung dalam kalimah syahadah.
ILAH maksudnya tuhan yang disembah. Dalam kontek syahadah, ia bermaksud Tuhan yang sebenarnya berhak dan layak disembah itu TIDAK ada melainkan ALLAH. Ini tidak menafikan wujudnya tuhan-tuhan palsu, tuhan-tuhan yang tidak benar, tidak layak dan tidak berhak disembah, tetapi disembah oleh manusia. Di dalam surah Ya Sin Allah berfirman maksudnya:
"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata terhadap kamu!" (Ya Sin:60)

Ayat di atas dengan jelas menggambarkan ada manusia yang sembah syaitan.

Di dalam ayat lain, Allah berfirman Maksudnya:
"Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka." (Maryam:81)

Bukankah di dalam ayat di atas Allah menyebut ada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh manusia?

Jadi, jawapan si ayah dalam cerita itu, mungkin kita tidak bersetuju sebagai jawapan yang terbaik, namun tidaklah dengan senang boleh kita katakan telah terkeluar dari aqidah.

Syahadah akan terbatal dengan salah satu daripada 3 cara:

I'tiqad - kita benar-benar meyakini wujudnya tuhan selain Allah atau yakin kepada sesuatu yang bertentangan dengan salah satu daripada rukun iman

Perkataan - kita mengeluarkan kata-kata yang JELAS menunjukkan penafian kita akan keesaan Allah, kerasulan nabi dan lain-lain yang wajib diimani

Perbuatan - melakukan perbuatan yang tidak boleh ditafsirkan lain daripada kafir, atau perbuatan menghina kebenaran dan kesucian agama Islam.

Kedua,
Saya perlu ulas sedikit ayat terakhir dalam artikel itu ("Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

1) Sedekah amal jariahnya

2) Doa anak-anaknya yang soleh

3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain)

Ini yang nyata salah. Kalau hanya 3 perkara ini yang kita bawa bersama, ke mana amalan-amalan fardhu yang lain seperti solat, puasa, berbakti kepada ibu bapa, didik anak dan lain-lain?
Yang sebenarnya, apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya (ertinya dia sudah tidak boleh beramal lagi untuk menambah bekalan pahalanya) kecuali daripada 3 perkara (yang disebut di atas, di mana 3 perkara di atas; sedekad jariah, bukan sedekah amal jariah, anak soleh yang berdoa untuknya dan ilmu yang dimanfaatkan; tidak putus pahalanya daripada kita walaupun selepas kita mati)

Allahu A'lam.

No comments: